Sejarah penubuhan PEMADAM

Posted by sabri | 10:04 PM | | 0 comments »

PEMADAM iaitu Persatuan Mencegah Dadah Malaysia telah ditubuhkan pada 22 Mac 1976. Mengikut perlembagaan YAB Perdana Menteri Malaysia adalah Penaung PEMADAM dan beliau yang akan melantik Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan.

Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan :

i. YB Dato' Athi Nahapan - telah dilantik menjadi Yang Dipertua Pertama Mac 1976 - Mei 1976

ii. YB Dato' Rais Yatim telah dilantik sebagai Yang DiPertua Kedua pada Jun 1976 - Mei 1987.

iii.YB Tan Sri Dato' Seri Megat Junid bin Megat Ayob telah dilantik menjadi Yang DiPertua Ketiga pada 9 Jun 1987 - November 1999.

iv. YB Dato' Haji Zainal Abidin bin Haji Zin telah dilantik sebagai Yang DiPertua PEMADAM Keempat pada 16 Disember 1999 - Oktober 2006.

v. YB Dato' Mohd. Johari bin Baharum, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah dilantik sebagai Yang DiPertua PEMADAM Kelima pada 1 November 2007 sehingga kini.
PEMADAM ditadbirkan oleh satu badan yang dipanggil Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan; dan untuk melicinkan lagi jentera pengurusan dan pelaksanaan program dan aktivitinya, biro - biro telah diwujudkan. Sebagai satu badan yang bercorak kebangsaan, PEMADAM juga bergerak di peringkat negeri, daerah dan unit.

PEMADAM telah dikenali ramai dan bolehlah dikatakan PEMADAM telah menjadi " a household name ". Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, PEMADAM telah bergerak cergas membantu kerajaan memerangi DADAH- Musuh Utama Negara.

Di dalam negara, PEMADAM menjalin hubungan rapat dan kerjasama erat dengan beberapa kementerian dan jabatan, di antaranya Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis DiRaja Malaysia. PEMADAM juga memandang penting kepada peranan agama dan dengan itu sentiasa mendapatkan input-input yang konstraktif daripada badan-badan ini.

Peranan dan tugas utama PEMADAM adalah pendidikan pencegahan dan penyebaran maklumat mesej anti dadah. Untuk mencapai matlamat ini, PEMADAM memberi fokus kepada belia, pelajar, pekerja, pendidik dan ibubapa. Berbagai kursus, seminar, bengkel diadakan supaya mesej anti dadah dapat tersebar meluas dan kemahiran mengendalikan kerja-kerja pencegahan dadah dapat dipertingkatkan.

PEMADAM telah menganjurkan, menaja, mengelola atau terlibat sama di dalam projek dan program seperti kursus panel penceramah, kursus anti dadah untuk ibubapa, seminar anti dadah untuk belia, skim lencana anti dadah untuk pelajar-pelajar sekolah dan juga bengkel bengkel IT bagi pengendalian maklumat di zaman ledakan teknologi informasi ini.

Walaupun PEMADAM tidak terlibat dengan urusan rawatan dan pemulihan, namun PEMADAM sangat peka terhadap nasib malang dan penderitaan orang-orang yang terdekat dengan penagih seperti ibu bapa, anak isteri dan saudara mara. Oleh itu, PEMADAM menubuhkan PENAWAR, sebagai badan rujukan dan sokongan kepada ahli-ahli keluarga penagih yang disebut sebagai golongan penderita sepi atau "silent sufferers ".

Di luar negara, di arena antarabangsa pula, PEMADAM juga begitu aktif sekali, khususnya di negara-negara jiran ASEAN dan di rantau Asia . PEMADAM menjadi pertubuhan pengasas kepada penubuhan IFNGO (International Federation of Non Government Organisations), satu badan ikatan antarabangsa menentang penggunaan dadah. Sekretariat IFNGO terletak di Ibu Pejabat PEMADAM Kebangsaan. IFNGO juga telah melahirkan bengkel ASEAN-NGO, juga satu forum anti dadah tetapi khusus untuk negara-negara ASEAN. Usaha baik IFNGO telah mendapat pengiktirafan ECOSOC (Economic & Social Council) Bangsa-Bangsa Bersatu.PEMADAM juga turut aktif di dalam aktiviti-aktiviti WFTC( World Federation of Therapeutic Communities) dan forum-forum anti dadah lain yang dianjurkan samada oleh Colombo Plan atau lain-lain Agensi Anti Dadah Bangsa-Bangsa Bersatu.

0 comments